Iklan Nuffnang

Selasa, 23 Mac 2010

Pusat beli-belah dan rupa-rupanya

Kali ini ingin saya bincang mengenai dua perkataan yang selalu kita dengar atau gunakan dalam perbualan seharian. Perkataan yang pertama ialah pusat beli-belah. Selalu juga kita dengar orang kata pusat membeli-belah. Jadi mana satu yang betul? Pusat beli-belah atau pusat membeli-belah? Perkataan yang betul ialah pusat beli-belah. Membeli-belah ialah perbuatan membeli barang di kedai. Justeru jika kita kata pusat membeli-belah maka makna perkataan itu telah berubah menjadi pusat itulah yang melakukan aktiviti membeli-belah. Contoh ayat ialah:

1) Sunway Pyramid ialah sebuah pusat beli-belah yang hebat. (betul)
2) Sunway Pyramid ialah sebuah pusat membeli-belah yang hebat. (salah)

Perkataan yang kedua ialah rupa-rupanya. Selalu kita dengar seseorang berkata begini, "Saya ingat Ali yang mengetuk pintu itu, rupanya Ahmad." Ayat ini ternyata salah kerana perkataan yang betul ialah rupa-rupanya. Contohnya, "Saya ingat Ali yang mengetuk pintu itu, rupa-rupanya Ahmad."
Perkataan rupanya membawa maksud keadaan rupa seseorang. Contoh ayat ialah seperti berikut:

1) Munirah sangat cantik. Rupanya seperti penyanyi Siti Nurhaliza. (rupanya = wajah seseorang)
2) Saya ingat Munirah masih bujang. Rupa-rupanya dia ialah isteri kepada Ali. (rupa-rupanya = sebaliknya)

Saya harap pembaca jelas dengan penerangan yang ringkas ini. Sebarang komen bolehlah diberi untuk kebaikan bersama. Terima kasih.