Iklan Nuffnang

Sabtu, 24 April 2010

Sempena & Bersempena

Antara perkataan yang selalu salah digunakan ialah perkataan sempena dan bersempena. Biasanya kita akan lihat ayat yang sebegini:

Ayat 1: Majlis kenduri di rumah Aminah itu dibuat sempena upacara akikah adiknya yang baru dilahirkan.
Ayat 2: Sempena Aidilfitri tahun ini, Suraya mengadakan majlis rumah terbuka di rumahnya.

Kedua-dua ayat di atas kurang tepat kerana perkataan yang sepatutnya digunakan ialah bersempena. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan bersempena membawa maksud mengambil berkat (daripada). Ayat yang betul ialah:

Ayat 1: Majlis kenduri di rumah Aminah itu dibuat bersempena upacara akikah adiknya yang baru dilahirkan.
Ayat 2: Bersempena Aidilfitri tahun ini, Suraya mengadakan majlis rumah terbuka di rumahnya.

Selasa, 23 Mac 2010

Pusat beli-belah dan rupa-rupanya

Kali ini ingin saya bincang mengenai dua perkataan yang selalu kita dengar atau gunakan dalam perbualan seharian. Perkataan yang pertama ialah pusat beli-belah. Selalu juga kita dengar orang kata pusat membeli-belah. Jadi mana satu yang betul? Pusat beli-belah atau pusat membeli-belah? Perkataan yang betul ialah pusat beli-belah. Membeli-belah ialah perbuatan membeli barang di kedai. Justeru jika kita kata pusat membeli-belah maka makna perkataan itu telah berubah menjadi pusat itulah yang melakukan aktiviti membeli-belah. Contoh ayat ialah:

1) Sunway Pyramid ialah sebuah pusat beli-belah yang hebat. (betul)
2) Sunway Pyramid ialah sebuah pusat membeli-belah yang hebat. (salah)

Perkataan yang kedua ialah rupa-rupanya. Selalu kita dengar seseorang berkata begini, "Saya ingat Ali yang mengetuk pintu itu, rupanya Ahmad." Ayat ini ternyata salah kerana perkataan yang betul ialah rupa-rupanya. Contohnya, "Saya ingat Ali yang mengetuk pintu itu, rupa-rupanya Ahmad."
Perkataan rupanya membawa maksud keadaan rupa seseorang. Contoh ayat ialah seperti berikut:

1) Munirah sangat cantik. Rupanya seperti penyanyi Siti Nurhaliza. (rupanya = wajah seseorang)
2) Saya ingat Munirah masih bujang. Rupa-rupanya dia ialah isteri kepada Ali. (rupa-rupanya = sebaliknya)

Saya harap pembaca jelas dengan penerangan yang ringkas ini. Sebarang komen bolehlah diberi untuk kebaikan bersama. Terima kasih.

Sabtu, 5 Disember 2009

Kata Nama, Kata Ganti Nama dan Kata Adjektif

KATA NAMA
Kata nama ada dua jenis iaitu kata nama am dan kata nama khas. Untuk membezakan kedua-dua jenis kata nama ini mudah sahaja iaitu kata nama am ditulis dengan huruf kecil dan kata nama khas ditulis dengan huruf besar pada awal perkataan.

Contoh:
Ahmad bekerja di hospital.
Ahmad ialah kata nama khas manakala hospital ialah kata nama am. Namun jika ayat Ahmad bekerja di Hospital Besar Kuala Krai ada beza iaitu nama hospital itu dikira sebagai kata nama khas kerana merujuk kepada hospital tertentu.

KATA GANTI NAMA
Kata ganti nama ada dua subgolongan iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama tunjuk adalah seperti ini dan itu. Manakala kata ganti nama diri pula boleh dibahagikan kepada tiga itu kata ganti nama diri pertama, kata ganti nama diri kedua dan kata ganti nama diri ketiga.
Kata ganti nama diri pertama merujuk kepada perkataan seperti aku, saya dan beta. Kami dan kita pula boleh digunakan apabila merujuk kepada kata ganti nama diri pertama untuk menunjukkan ramai. Kamu, engkau, anda dan awak adalah kata ganti nama diri kedua. Kata ganti nama diri ketiga pula ialah dia dan mereka. Kata ganti nama diri pula merujuk kepada perkataan untuk bertanya seperti apa, siapa dan mana.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa penggunaan kata ganti nama diri perlu diambil berat ketika kita menulis menggunakan ayat pasif. Ayat pasif ialah ayat yang menggunakan imbuhan ‘di’.

Contoh mudah:
1) Ali menendang bola itu ke dalam gol. (ayat aktif)
2) Bola itu ditendang oleh Ali ke dalam gol. (ayat pasif)

Jika menggunakan kata ganti nama diri kedua atau ketiga tiada masalah. Namun kekeliruan selalu terjadi apabila menggunakan kata ganti nama diri pertama dalam ayat pasif.

Contoh mudah:
1) Saya menendang bola itu ke dalam gol. (ayat aktif)
2) Bola itu saya tendang ke dalam gol. (ayat pasif)
3) Bola itu ditendang oleh saya ke dalam gol. (salah)

Ayat pasif yang menggunakan kata ganti nama diri pertama mesti menggugurkan perkataan ‘oleh’ dan imbuhan ‘di’.

KATA ADJEKTIF
Kata adjektif adalah perkataan yang menerangkan sifat atau keadaan. Boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian tertentu iaitu:
1) Keadaan atau sifat (baik, jahat, berani, kasar)
2) Warna (merah, hitam, biru)
3) Ukuran (besar, kecil, tinggi, kerdil, rendah)
4) Bentuk (bulat, bujur, bengkok)
5) Waktu (lama, baru, lampau, suntuk, silam, lambat)
6) Jarak (jauh, dekat, nyaris)
7) Cara (cepat, laju, gopoh, perlahan)
8) Perasaan (sayang, benci)
9) Pancaindera (sedap, manis, enak, tawar, garau, harum, wangi)

Penggunaan kata adjektif boleh disertai dengan empat jenis tahap iaitu:
1) Tahap biasa:
Contoh: Aleeya memakai baju merah.
2) Tahap perbandingan:
Contoh: Aleeya memakai baju semerah darah.
3) Tahap lebih tinggi:
Contoh: Aleeya memakai baju yang sangat merah.
4) Tahap penghabisan:
Contoh: Aleeya memakai baju paling merah dalam kalangan rakan sepejabat.

Perlu diingatkan bahawa kata adjektif pada tahap perbandingan yang menggunakan imbuhan ‘se’ tidak perlu diletakkan sendi nama ‘dengan’. Imbuhan ‘se’ sudah menunjukkan maksud sama dengan.
Contoh:
1) Aleeya memakai baju semerah darah. (betul)
2) Aleeya memakai baju semerah dengan darah. (salah)

Jumaat, 4 Disember 2009

Kata Kerja, Kata Sendi Nama dan Kata Hubung

KATA KERJA

Kata kerja ada dua bahagian iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Lihatlah penerangan di bawah.

Kata Kerja Transitif
Secara mudah untuk difahami, maksud kata kerja transitif ialah perkataan kata kerja yang PERLU ADA penyambut atau objek di belakangnya. Contoh ayat di bawah memudahkan untuk kita sama-sama memahami kata kerja transitif.

1) Syarifah memberitahu saya bahawa dia suka warna merah.
Perkataan memberitahu ialah kata kerja transitif yang perlu ada objek di belakangnya. ‘Saya’ ialah objek dalam ayat ini.
2) Rynas mengirim surat kepada suaminya.
Perkataan mengirim ialah kata kerja transitif dan ‘surat’ ialah objek.

Contoh lain kata kerja transitif ialah:
- memperbaiki televisyen.
- menghulurkan sampul surat.
- mendayung sampan.
- meragut beg.

Kata Kerja Tak Transitif
Kata kerja tak transitif ialah perkataan kata kerja yang TIDAK PERLU ADA penyambut atau objek di belakangnya. Hal ini kerana ayat itu sudah lengkap walaupun tiada penyambut atau objek. Lihat ayat di bawah.

1) Ibu sedang tidur.
Perkataan tidur sudah difahami dan tidak perlu objek. Namun kita boleh menyambung ayat ini dan dinamakan sebagai pelengkap. Contoh: Ibu sedang tidur di atas tilam barunya.

Contoh lain:
- Mariam tersenyum.
- Suzi sedang bersembahyang.
- Anis berdoa.
- Jambatan itu runtuh.

KATA SENDI NAMA
Kata sendi nama digunakan untuk menyambung ayat bagi menunjukkan kaitan antara kata nama atau kata ganti nama dengan perkataan-perkataan lain.Kata sendi nama ialah di, ke, pada, kepada, dari, daripada, untuk, akan, hingga, oleh dan dengan.

Kesilapan yang biasa dilakukan:

1) Ejaan ‘di’
Daripada senarai ini, biasanya kekeliruan timbul pada kata sendi nama ‘di’, ‘dari’ dan ‘daripada’. Ada kala saya terlihat kesilapan ejaan ‘di’ yang dieja rapat atau jauh tidak tepat. Kebanyakan orang keliru dengan fungsi ‘di’ sama ada kata sendi nama atau imbuhan. Jika ‘di’ berfungsi sebagai kata sendi nama, ejaannya jauh. Perkataan ‘di’ di eja dekat jika berfungsi sebagai imbuhan.

Contoh:
Rumah saya terletak di Pantai Dalam. (kata sendi nama ‘di’)
Jam itu dibeli oleh Abu. (imbuhan ‘di’)

Perlu diingat bahawa kata sendi nama ‘di’ tidak boleh diguna untuk menerangkan waktu, masa atau zaman.

Misalnya:
Dia berbaju kurung biru di pagi Aidilfitri. (ayat ini salah)
Dia berbaju kurung biru pada pagi Aidilfitri. (ayat ini betul)

2) Penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’
Petua untuk menggunakan perkataan ‘dari’ dan ‘daripada’ secara tepat ialah perkataan ‘dari’ hanya digunakan untuk menunjukkan tempat dan masa. Selain itu kita gunakan ‘daripada’. Senang bukan? Jika petua ini dapat diingat, maka tidak timbullah ayat pincang yang selalu dilakukan.

Misalnya:
Anis menerima panggilan telefon dari Suzi. (salah)
Kerusi ini dibuat dari kayu jati. (salah)
Suhaila berjalan daripada klinik ke pejabat. (salah)

KATA HUBUNG
Kata hubung digunakan untuk menyambung dua ayat atau lebih dalam satu ayat. Ada dua jenis kata hubung iaitu kata hubung gabungan dan kata hubung pancangan.

Kata Hubung Gabungan
Kata hubung gabungan ialah penyatuan dua ayat yang setara sifatnya. Perkataan yang digunakan ialah dan, atau, lalu, serta, tetapi, sambil dan kemudian. Pembinaan ayat menggunakan kata hubung ialah seperti ini.

Perhatikan:
Contoh A
Ayat 1: Anis mengulang kaji nota Kak Ani.
Ayat 2: Suzi mengulang kaji nota Kak Ani.
Ayat disatukan menjadi: Anis dan Suzi mengulang kaji nota Kak Ani.
(kata hubung ‘dan’)

Contoh B
Ayat 1: Anis lulus ujian memandu kereta.
Ayat 2: Suzi gagal ujian memandu kereta.
Ayat disatukan menjadi: Anis lulus ujian memandu kereta tetapi Suzi gagal.
(kata hubung ‘tetapi’)

Kata Hubung Pancangan
Kata hubung pancangan digunakan untuk menyambungkan ayat tidak setara. Ada lebih daripada ayat kecil yang dimasukkan ke dalam ayat induk untuk menjadikan ayat baru. Kata hubung pancangan ialah yang, bahawa, kerana, supaya, jika, semenjak dan walaupun.

Contoh A:
Ayat 1: Haizan membuat kek batik.
Ayat 2: Kek batik itu sedap.
Ayat 3: Kek batik itu lembik.
Ayat disatukan menjadi: Haizan membuat kek batik yang sedap walaupun lembik.
Boleh juga begini: Kek batik yang dibuat oleh Haizan itu sedap walaupun lembik.

Dapatkah anda membezakan antara kedua-dua kata hubung ini? Diharap penerangan ini dapat membantu. Sekian terima kasih.

Kata Seru, Kata Arah dan Kata Nafi

KATA SERU
Secara mudah, kata seru ialah perkataan yang digunakan untuk menyatakan perasaan. Apa yang perlu diingat ialah kata seru perlu diletakkan tanda seruan pada akhir ayat. Kesilapan yang selalu dibuat ialah penulis meletakkan tanda seruan pada tempat yang salah.

Contoh:
Wah! Cantiknya baju kamu. (salah)
Wah, cantiknya baju kamu! (betul)

Kata seru tidak semestinya diikuti dengan kata seruan (wah, cis, amboi, nah, eh). Boleh juga sekadar ditulis ayat: Cantiknya baju kamu! Tidak perlu ditambah ‘wah’. Apa yang perlu diambil perhatian ialah anda perlu meletakkan tanda koma (,) selepas kata seru dan tanda seruan (!) pada akhir ayat. Itu saja! Senang bukan?

KATA ARAH
Kata arah digunakan untuk menunjukkan tempat. Contoh kata arah ialah dalam, luar, bawah, atas, belakang, tepi, sana, sini, situ, pinggir dan sebelah. Penggunaan kata arah mesti didahului dengan kata sendi nama ‘di’, ‘ke’ atau ‘dari’. Paling penting yang perlu diingat ialah kata sendi ‘di’ dieja jauh dengan kata arah.

Contoh:
Nurul duduk di sebelah Suzi.
Anis suka duduk sambil berangan di pinggir hutan.
Maimunah mundar-mandir dari tepi tangga ke tempat duduknya.

KATA NAFI
Kata nafi hanya ada dua sahaja iaitu BUKAN dan TIDAK.

Perkataan ‘bukan’ digunakan untuk menafikan maksud ayat bagi kata nama dan kata sendi nama yang mengikutinya.

Contoh:
Cikgu Latifah bukan guru kelas saya. (kata nama)
Rumah saya bukan di Kajang. (kata sendi nama)

Manakala perkataan ‘tidak’ digunakan untuk menafikan kata kerja dan kata adjektif.

Contoh:
Saya tidak penat walaupun bersenam selama empat jam. (kata kerja)
Abdullah tidak marah kepada Latif. (kata adjektif)

Pun begitu, perkataan ‘bukan’ boleh digunakan pada kata adjektif jika ada pertentangan maksud.

Contoh:
Lili bukan marah kepada Badrul tetapi dia geram kerana Badrul suka buat sepah.

Diharap penerangan di atas dapat memberi manfaat kepada semua. Sekian.

Kenali Peribahasa Melayu

SALAM sejahtera untuk semua pembaca blog ini. Kali ini saya ingin menulis pengenai peribahasa. Ketika bertugas sebagai guru sementara suatu ketika dahulu, ramai pelajar yang bertanya kepada saya mengenai peribahasa. Mereka keliru antara peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah. Bagi saya, kekeliruan ini bukan sahaja dihadapi oleh pelajar sekolah. Malah kita juga pasti tidak pasti mengenai perbezaan antara perkara di atas, bukan? Secara mudah, jom kita lihat keterangan di bawah. Semoga kekeliruan anda terungkai dengan sedikit penjelasan ini.

PERIBAHASA
Peribahasa sebenarnya ialah kelompok besar yang di bawahnya ada kelompok kecil iaitu simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah atau perbilangan.

Peribahasa
1) Simpulan bahasa
2) Perumpamaan
3) Pepatah atau perbilangan
4) Bidalan

SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa ialah bentuk peribahasa paling ringkas. Biasanya mempunyai dua patah perkataan. Dua patah perkataan itu tadi pula membawa maksud berlainan daripada maksud asal. Contohnya, banyak mulut. Kalau kita lihat perkataan banyak mulut ini membawa maksud mulut yang banyak. Manusia hanya ada satu mulut sahaja, bukan? Tetapi simpulan bahasa banyak mulut membawa maksud orang yang suka bercakap.
Contoh lain kelompok simpulan bahasa ialah besar kepala (degil), ringan mulut (peramah), tangkai jering (kedekut), naik angin (marah secara tiba-tiba), harga diri (maruah) dan rambang mata (tidak tahu hendak memilih).

PERUMPAMAAN
Perumpamaan ialah bentuk peribahasa yang agak panjang. Dimulakan dengan perkataan ibarat, seperti, bagai, bak, laksana atau ibarat. Contohnya, seperti katak di bawah tempurung. Maksud peribahasa ini ialah orang yang tidak ambil tahu mengenai dunia luar dan kehidupan terpencil merangkumi ruang lingkupnya sahaja.
Contoh lain ialah umpama kaca dengan permata, bagai pungguk rindukan bulan, bagai aur dengan tebing dan bagai kera mendapat bunga.

PEPATAH ATAU PERBILANGAN
Jika diperhatikan betul-betul, pepatah ada unsur rima seperti puisi. Susunannya ringkas dan terdiri daripada dua baris. Apabila anda menuturkan pepatah, seolah-olah anda menyebut satu per satu dek kerana rima itu tadi. Tak percaya? Cuba sebut contoh di bawah:
- Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
- Cubit paha kanan, paha kiri sakit juga.
- Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

BIDALAN
Bidalan ialah bentuk peribahasa yang tinggi nilainya. Bidalan mempunyai unsur nasihat dan bermaksud tersirat. Lebih kurang sama dengan pepatah namun nilai bahasanya lebih tinggi. Contoh mudah ialah malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan. Contoh lain; jika kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga yang bermaksud kalau pengetahuan sedikit janganlah hendak berlawan atau membuat sesuatu yang besar.

Keterangan tambahan
Kalau ikut Kamus Dewan, perkataan peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Jadi, untuk anda yang ingin menggunakan peribahasa dalam pertuturan atau penulisan, anda sepatutnya TIDAK BOLEH ubah susunan ayatnya. Misalnya peribahasa cibit paha kanan, paha kiri sakit juga. Janganlah pula anda ubah jadi cubit paha kiri, paha kanan pun sakit atau cibit paha kanan, paha kiri terasa juga. Janganlah tambah atau kurangkan perkataannya. Jalan terbaik ialah rujuk Kamus Dewan atau buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit profesional.

Pesona atau Persona

HARI ini saya ingin berkongsi mengenai dua perkataan yang selalu salah digunakan iaitu pesona dan persona. Perkataan ini salah digunakan apabila muncul filem Persona Non Grata dan kereta Proton Persona. Sakit mata melihat dan sakit telinga mendengar apabila perkataan ini salah digunakan dalam bahasa Melayu. Orang selalu kata "Saya terpersona melihat keayuan wajah peragawati itu." Ayat ini salah kerana sepatutnya perkataan yang digunakan ialah terpesona. Untuk lebih jelas lihat nota di bawah.
PESONA - Ada dua maksud.
1) Sihir - Contoh (Dia menggunakan pesona untuk memikat gadis itu).
2) Sangat-sangat tergoda atau memikat - Contoh (Keayuan gadis itu mempesona pandangan).

PERSONA - Ada dua maksud.
1) Watak di dalam karya seperti filem, novel dan sebagainya.
2) (Bahasa Latin) Orang. Persona non grata bermaksud orang yang tidak diterima di dalam negara selama-lamanya kerana berbuat kesalahan seperti jenayah.

Baiklah, itu sahaja maksud dua perkataan secara ringkas. Justeru, cuba anda perhatikan dan carilah maksud nama Proton Persona. Adakah Proton ingin membawa maksud orang ramai pasti terpesona dengan kereta itu? Saya rasa memang Proton ingin membawa maksud Proton Persona sebagai sebuah kereta yang benar-benar memikat orang ramai. Jadi sepatutnya kenalah letak nama Proton Pesona. Betul tak?